Johor Boleh Contohi Langkah Sarawak


Sejak kira-kira sembilan bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), politik Malaysia masih belum stabil.

Berakhir PRU, rakyat mengalami Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang menyaksikan pertembungan gabungan parti kerajaan dan gabungan parti pembangkang yang sengit.

Belum reda kehangatan PRN, Johor pula akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada bulan September.

Keputusan PRU dan PRN menunjukkan secara kasar sokongan yang boleh dikatakan sama rata dalam kalangan orang ramai terhadap gabungan parti kerajaan dan gabungan parti pembangkang.

Namun, situasi politik tidak menentu khususnya kepada Johor boleh memberi kesan kurang baik kepada kestabilan negeri berkenaan.

Justeru, apakah langkah yang boleh diambil oleh Johor khususnya dalam menangani gelombang ketidakstabilan politik di negeri berkenaan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1144922/ph-bn-mampu-menang-di-prk-pulai-pn-mungkin-buat-kejutan


Ketika ini, rakyat Johor berdepan dengan dilema yang mencabar dalam pilihan politik.

Di satu sudut, parti-parti di peringkat Persekutuan kelihatan kurang memberikan keyakinan kepada pengundi.

Namun, di peringkat negeri, pemimpin sedang berusaha dengan gigih untuk memberi pilihan yang terbaik.

Walaupun begitu, apakah usaha itu sudah cukup untuk menenangkan hati rakyat?

Mengambil kira keadaan politik semasa di Malaysia, timbul persoalan tentang 'apa lagi pilihan di tangan rakyat Johor?'.

Banyak pihak menganggap bahawa kelemahan dan percanggahan dalam politik peringkat Pusat telah memberikan kesan yang kurang baik kepada negeri-negeri seperti Johor.

Sebagai respons kepada keadaan ini, muncul desakan untuk mencari alternatif baharu untuk Johor mempertimbangkan 'pilihan ketiga' atau perlu menubuhkan gerakan khas seperti parti politik khusus susulan keperluan untuk menilai semula kepimpinan negeri yang sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat Johor sendiri.

Sebagaimana Sarawak yang menyatupadukan semua parti di bawah bumbung Kerajaan Campuran, Johor juga boleh mengambil langkah serupa menerusi beberapa kaedah.

Pertama, Johor boleh mengamalkan perkongsian kuasa antara parti kerajaan dan pembangkang seperti dipraktikkan oleh Sarawak.

Melalui amalan berkenaan, kedua-dua pihak dapat mengawal dan memantau pelaksanaan dasar-dasar awam dapat memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

Pembahagian kuasa ini juga mengimbangi sistem demokrasi dan mencegah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan kedua-dua pihak.

Selain itu, parti kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama untuk membangunkan dasar-dasar yang menyentuh aspek kehidupan rakyat seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, dan kemudahan awam.

Keputusan yang dibuat melalui konsensus parti-parti politik berpotensi menghasilkan dasar-dasar yang lebih holistik dan bersepadu, mengurangkan jurang sosial dan menyokong perkembangan yang mampan.

Situasi ini akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur dalam projek-projek pembangunan jangka panjang, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Justeru, rakyat Johor dapat menikmati peluang pekerjaan yang lebih banyak dan peningkatan taraf hidup.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2022/11/906366/kerajaan-campuran-pn-bn-gps-grs-ditubuh-abang-jo


Kedua, pembentukan jawatankuasa antara parti untuk mengendalikan isu-isu sensitif juga dapat membantu mengekalkan keharmonian politik Johor.

Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada wakil-wakil semua parti politik dan bertujuan untuk memahami pandangan serta kebimbangan setiap pihak.

Menerusi jawatankuasa ini juga, tindakan yang diambil akan mencerminkan konsensus dan

memberi keyakinan kepada rakyat tentang kestabilan politik yang wujud.

Apabila semua parti bergerak bersama untuk mencari penyelesaian terbaik bagi isu-isu penting, kebimbangan dan keraguan dalam kalangan rakyat berkurangan.

Malah, penyatuan semua parti politik dapat memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Johor.

Apabila mereka melihat pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai latar belakang bekerjasama demi kepentingan rakyat, orang ramai merasakan bahawa kepelbagaian pendapat dihargai serta dihormati.

Ini mendorong rakyat Johor untuk melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada satu komuniti yang bersatu padu, tanpa mengira perbezaan politik.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1127589/kerajaan-pembangkang-perlu-berdamai-demi-rakyat


Pendidikan politik dan kesedaran rakyat juga tidak boleh diabaikan oleh kedua-dua pihak.

Mengadakan program-program pendidikan awam yang membincangkan prinsip-prinsip demokrasi, kepentingan kerjasama, dan hak serta tanggungjawab rakyat dalam proses politik adalah penting.

Langkah ini dapat membantu membina kesedaran politik yang matang dan rakyat yang bijak dalam membuat keputusan.

Dalam era digital ini, penggunaan media sosial dan platform digital juga boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan kerjasama politik.

Parti-parti politik boleh berkomunikasi dengan rakyat melalui medium media sosial untuk berkongsi maklumat, mendapatkan pandangan, dan menyampaikan usaha-usaha kerjasama yang dijalankan.

Sumber: https://relevan.com.my/2022/11/23/apa-yang-dimaksudkan-dengan-kerajaan-perpaduan/


Tuntasnya, kerjasama politik di Johor khususnya memberi impak positif yang signifikan kepada rakyat negeri berkenaan.

Kestabilan politik, pembentukan dasar-dasar awam yang berfokus pada kepentingan bersama, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik, semangat kebangsaan, perkembangan sektor-sektor ekonomi, dan pendidikan yang ditingkatkan adalah beberapa daripada manfaat yang boleh dicapai melalui kerjasama politik.

Dengan tekad dan semangat bersama, rakyat Johor akan menikmati kesejahteraan dan kemakmuran yang lebih besar.

Maka, sudah tiba masanya kedua-dua pihak menolak kepentingan peribadi dan mencari jalan sepakat untuk bekerjasama di bawah satu bumbung yang sama.

Perkara paling mustahak yang perlu diberi tumpuan adalah rakyat Johor. Tanpa kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri Johor tidak boleh berlaku.

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Dua Tun dan Dana Haram UMNO

Penyatuan 'Tidak Ikhlas' Mahathir-PAS

Isteri Daim Culas Bayar Cukai Pendapatan