Papagomo Penyebar Hasutan Dan Fitnah
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo sering muncul di media sosial sebagai 'aktivis politik' yang kononnya membela 'perjuangan' Melayu dan Islam serta menjadi pengkritik Kerajaan Madani.
Dia mendakwa dirinya sebagai pejuang kebenaran namun hakikat sebenarnya Papagomo adalah penghasut, penyebar fitnah dan kuat menghina institusi negara.
Papagomo bukanlah wira rakyat, sebaliknya individu yang berisiko menjadi ancaman kepada keharmonian sosial, kedaulatan undang-undang serta maruah Malaysia.
Dia tidak pernah serik meskipun berkali-kali ditahan, didakwa dan dikenakan hukuman.
Papagomo terus menggunakan platform media sosialnya untuk menyebarkan kebencian, fitnah dan hasutan sambil mendakwa memperjuangkan Islam namun ironinya, sangat memalukan.
Pada 6 September 2012, Papagomo secara rasmi dibuang daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disabitkan kesalahan jenayah.
Dia pernah bertugas sebagai konstabel di Balai Polis Ampang Jaya dari 1 Julai 2002 hingga 30 November 2004.
Pada 31 Oktober 2005, Papagomo didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya atas kesalahan jenayah iaitu memeras ugut orang awam ketika bertugas.
Dia disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman tatatertib serta dipecat dengan serta-merta.
Bagaimana seseorang yang pernah terbabit dalam kesalahan jenayah memeras ugut orang awam, boleh mengaku dirinya sebagai pejuang keadilan?
Dari awal lagi, identitinya sebagai aktivis politik yang bersih sudah tercemar.
Rekod jenayah lampaunya tidak boleh dipadamkan sebegitu sahaja, apatah lagi apabila melibatkan salah guna kuasa terhadap rakyat yang sepatutnya dilindungi oleh seorang anggota polis.
SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/225163
Pada 27 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari serta denda RM30,000 terhadap Papagomo selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah.
Hukuman tersebut dikenakan setelah Papagomo melanggar perintah injunksi dengan terus mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Tindakannya jelas menunjukkan sikapnya yang tidak menghormati institusi kehakiman negara.
Ironinya, seorang bekas anggota polis yang sepatutnya menjunjung tinggi undang-undang telah merendahkan sistem keadilan yang menjadi tunjang kepada kestabilan negara.
Seseorang yang mendakwa memperjuangkan keadilan, hakikatnya telah memperlekehkan mahkamah yang menjadi benteng utama keadilan.
Perbuatan Papagomo melanggar perintah mahkamah walaupun injunksi telah dikeluarkan membuktikan dia menganggap undang-undang sebagai sekadar ‘permainan’.
Sikap sebegini bukan sahaja mencabar kewibawaan mahkamah, malah berisiko meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.
Papagomo bukanlah contoh yang wajar diikuti. Sebaliknya, dia harus dijadikan pengajaran tentang bagaimana sistem keadilan boleh tercalar apabila ada individu yang gagal menghormati salah satu institusi terpenting negara.
Pada 29 April 2024, Papagomo ditahan polis dan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana membuat hantaran berbentuk hasutan berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang menjual stokin tertera kalimah ‘Allah’ mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di laman X miliknya.
Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat yang memaparkan Papagomo didakwa mempersoalkan tindakan Agong bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.
Seseorang yang kononnya memperjuangkan 'Melayu' telah memperlihatkan wajah sebenarnya, bukan sebagai pejuang bangsa tetapi individu yang sanggup memperalatkan isu agama dan kaum demi kepentingan politik sempit.
Lebih parah, retorik yang dibawa bukanlah suara keadilan, namun kata-kata kebencian yang boleh menyalakan api perbalahan dalam masyarakat.
Papagomo langsung tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan menganggap Baginda sebagai musuh peribadinya.
Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda yang baru mengenali dunia politik dan mengikuti media sosial Papagomo, patut sedar dia bukan seorang pejuang keadilan rakyat.
Fitnahnya merosakkan perpaduan rakyat, perjuangan Melayu-Islam yang dicanang selama ini dinodai dengan pembohongan dan Papagomo langsung tidak menghormati semua insitusti penting negara.
Sudah tiba masanya semua platform media sosial bertindak tegas menutup akaunnya dan rakyat memboikot individu yang tidak pernah serik melakukan perbuatan menyebarkan hasutan serta fitnah.
Papagomo tidak pernah menjadi mangsa sistem negara, sebaliknya dia hanya memperalatkan sesuatu isu untuk kepentingan peribadinya.
Malaysia tidak memerlukan penyebar fitnah seperti Papagomo.
Comments
Post a Comment